Monday 22 August 2011

1. Pengalaman Pertama Orientasi Pendidikan (ORDIK)

Walau hati terasa sayu, aku tidak mahu terlalu mengikutkannya. Aku mengambil tempat di bawah kipas yang memang sudah sedia terpasang lalu membelek-belek suratkabar ‘kompas’ yang kebetulan terdapat di ruang tamu itu. Aku perlu mendekatkan diri dengan bahasa Indonesia agar tidak mengalami masalah sewaktu kuliah nanti. Aku perlu banyak membaca dan mendengar.

Suasana hening, tanpa ada satu kelibat penghuni pun, menambah kesayuan hati. Baru kelmarin aku bertukar ucapan perpisahan dengan rakan-rakan seangkatan yang berangkat ke Depok untuk seterusnya menetap di sana. Aku calon tunggal yang akan berkuliah di Salemba ditinggal sendirian di Budi Kemuliaan.

“Baru berapa hari di sini kamu sudah pacaran!”. Aku tersentak mendengar kalimat itu.
Siapa yang tiba-tiba menghakimi aku dan atas alasan apa agaknya. Aku menoleh ke belakang. Pelajar senior yang sama jurusan denganku rupanya. Wajah serius dan nada yang sangat tidak bersahabat membuatkan aku mengurungkan niat untuk menangkis tuduhan itu. Namun aku tetap rasa sedih, keliru juga marah. Memang aku ada keluar makan di warung ‘ibu’ di hujung Jalan Budi Kemuliaan itu dengan pelajar lelaki, tetapi apa pilihan yang aku ada kerana selain seorang lagi pelajar senior dari IAIN, tiada lagi pelajar perempuan lain yang tinggal tetap di situ setelah semuanya berangkat ke Depok.

Terdetik dalam hatiku apakah dia cemburu atau dia bimbang aku akan terlarut dalam dunia cinta sehingga tidak menumpu pada perkuliahan. Aku memilih firasat kedua, itu lebih positif. Dia mungkin simpati dan bimbang aku terlalai. Tapi aku sendiri sebenarnya sudah nekad dan telah meletakkan perkuliahan dan kecemerlangan sebagai matlamat utama walau apapun yang terpaksa ku hadapi. Aku cuma berteman untuk keselamatan bukan berpacaran.

“Esok kamu ke Salemba, cari panitia ORDIK bernama Mukhlis dan ambil senarai barang barang yang perlu untuk acara itu darinya.” Arahan yang tidak sempat ku persoaljawabkan kerana pelajar senior itu terus berlalu meninggalkan aku terpinga-pinga.

Pagi itu, umpama telah berjanji, tepat sewaktu aku melangkah keluar pintu pagar Budi Kemuliaan, sebuah teksi biru berhenti di depanku. Aku ingat pesan pelajar senior, kalau mahu naik teksi, pilih yang warna biru, servis lebih baik dan tidak menipu argo atau memanipulasi laluan.

Sendirian, aku langsung menaiki teksi tersebut sambil cuba mempamerkan wajah penuh yakin walau dalam hati sangat bercelaru kerana selain hanya tahu menyebut Salemba aku sebenarnya tidak ada idea langsung tentang tempat itu.

Aku diturunkan di hadapan pintu masuk gedung FK. Suasana di depan pagar tak ubah seperti pasar makanan, deretan gerobak yang menyediakan berbagai jenis juadah tradisi Indonesia tidak terhitung, belum lagi yang jualan rokok dan ‘koran’. Sekilas, memang menghairankan bagaimana warga Indonesia kononya menganggap FKUI sebagai satu jenama lima bintang. Gedung lama era zaman Belanda dengan lanskap yang biasa-biasa saja. Fisikalnya memang tiada apa yang menarik, bagaimana produknya bisa hebat? Aku mungkin terlalu awal menilai.

Aku hanya mengikut langkah kakiku, terus terang aku tidak tahu ke mana harus aku tuju. Tiba-tiba sewaktu aku melewati sebuah ruangan seakan perpustakaan, seorang mahasiswa kebetulan keluar dari pintu utamanya. Aku cepat-cepat menyapa dan bertanya tentang mahasiswa yang bernama Mukhlis yang sepatutnya kutemui. Syukur kerana Mukhlis memang ada di perpustakaan itu. Aku lantas perlahan-lahan masuk ke dalam.

Bagai tidak percaya apabila aku dihulurkan sekeping daftar barang barang yang perlu ku sediakan sebelum bermulanya acara Orientasi Pendidikan (ORDIK) esok, yang kalau dihitung waktunya sesudah ditolak waktu tidur selama enam jam, aku cuma punya dua belas jam untuk mencari 60 jenis barang. Hampir semua benda yang berada di antara langit dan bumi perlu diadakan dan di’hijau’kan mengikut warna FKUI, dari belon gas yang bisa diterbangkan ke awan hinggalah kepada tiga ekor cacing warga lapisan bumi.

Di mana harus di cari tisu muka hijau, sandal jepit hijau, tas hijau mesti buatan sendiri, kaos hijau dengan logo UI lukisan sendiri, krim rambut hijau (bukan bekasnya hijau), buku nota berkulit hijau, sarung tangan hijau, sudu garpu hijau, kondom hijau, 3 ekor lipas yang masing-masing berkumis tiga dan banyak lagi. Sesetengah barang aku tidak pernah mendengar namanya pun, wingko babat hijau, antaranya.

Mau cari atau beli di mana? aku bingung. Tapi hikmahnya ternyata besar sekali. Jalan-jalan asing, pasar-pasar yang semerawut ku jelajahi sendirian. Jalan Sabang, Komplek Sarinah, Pasar Tanah Abang, Pasar Senen. Naik bas seharga seratus perak atau ‘cepek’, naik bajaj yang kadang-kadang memecut seperti mahu terbang melalui lorong-lorong kecil yang tidak pernah terbayangkan. Aku lakukan sendirian. Aku jadi berani dalam terpaksa. Satu anjakan yang tidak pernah terfikirkan. Aku sedang cuba menakluki kota Jakarta.

Hari sudah hampir gelap. Syukur aku dapat pulang ke Budi Kemuliaan dengan selamat sambil membawa segerobak barang-barang. Tidak semua dapat ku sediakan. Aku terpaksa menanggung risiko. Yang menjadi tumpuanku sekarang adalah mendapatkan bantuan Pak Berahim untuk menggalikan 3 ekor cacing untukku. Dan malamnya akan aku lakukan proses ‘penghijauan’ dan rekayasa kecoa berkumis tiga.

Zalilah Manan, 15 Ogos 2011